![]() |
Balik Pulau
|
![]() |
![]()
|
PERKHEMAHAN PENGAKAP KELANA D, KOLEJ KEMAHIRAN TINGGI MARA (KKTM) BALIK PULAU 24 – 26 Ogos 2007, Hutan Lipur Taman Rimba, Teluk Bahang, Pulau Pinang
KKTM Balik Pulau telah menjemput Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Balik Pulau untuk menganjurkan perkhemahan bagi ahli-ahli Pengakap Kelana D KKTM. Pasukan Pengakap Kelana D KKTM telah ditubuhkan secara rasminya pada tahun 2006 dan berdaftar dengan Persekutuan Pengakap Malaysia. Perkhemahan ini disertai seramai 47 orang ahli terdiri dari 42 orang lelaki dan 5 orang wanita. Turut mengiringi ialah 5 orang pensyarah penyelaras Pengakap Kelana D KKTM diketuai oleh En. Syahrizan. Di pihak PPM Balik Pulau, En. Hazlisham B Hj Hanafiah dipertanggungjawabkan sebagai Kem Komandan dan Tuan Pesuruhjaya, En. Rozhan Bin Haji Yahaya sebagai penasihat. Turut membantu ialah Penolong-penolong Pesuruhjaya Daerah, En. Faisal dan Pn. Hanisah selain AJK Pasukan Latihan Daerah En. Mohd Akiffadzil dan En. Nawawi serta Ahli-ahli Pasukan Pengakap Kelana A Balik Pulau iaitu En. Fadzlan, En. Hafiz, En. Fauzi dan En. Azlan. Peserta mula tiba melapurkan diri di tapak perkhemahan Hutan Lipur Teluk Bahang pada jam 5.45 ptg. Sejurus selepas taklimat dan sesi memperkenalkan jurulatih, para peserta membentuk 5 kumpulan dan seterusnya mendirikan khemah dan tempat solat. Setelah selesai solat Isyak dan menikmati makan malam, aktiviti dimulakan dengan sesi latihan berpengkalan (Base activities). Lima pengkalan diadakan di mana para peserta akan diberikan tunjuk ajar berkaitan ikatan, simpulan, PC (anduh), teknik alih ganti orang cedera dan juga kaedah CPR. Aktiviti ini berakhir pada jam 11.15 malam. Selepas minum malam, para peserta diajar / dihiburkan lagu-lagu pengakap oleh para jurulatih. Sesi ini berakhir pada jam 12.00 malam. Bagi membina ketahanan dan keyakinan diri peserta, aktiviti kembara malam turut diadakan. Para peserta dengan dibantu Jurulatih dan penolong jurulatih memulakan perjalanan merentasi hutan simpanan di Taman Rimba melalui denai-denai dalam kegelapan malam tanpa bantuan lampu suluh. Ini akan dapat menajamkan pancaindera peserta dan memberikan satu pengalaman baru kepada mereka. Aktiviti ini berakhir pada jam 3.30 pagi. Di hari kedua perkhemahan, Kursus Kepimpinan Manikayu Peringkat Induksi (Pengenalan) telah diadakan dan berakhir pada jam 5.00 petang. Para peserta perkhemahan menerima kejutan dengan kehadiran YB Pn Siti Faridah Binti Arshad, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Teluk Bahang yang turut meluangkan masa berinteraksi bersama peserta dan meninjau kawasan perkhemahan. Aktiviti cabaran lasak ala Explorace dimulakan selepas itu dimana para peserta dikehendaki menjawab soalan-soalan yang dikemukakan disamping melawat tempat-tempat menarik di sekitar Teluk Bahang seperti Empangan Teluk Bahang, Balai Polis, Balai Bomba, Taman Rama-rama dan juga Pekan Teluk Bahang. Di sebelah malamnya, para peserta menunjukkan bakat terpendam masing-masing melalui persembahan lakonan dan nyanyian di Malam Pengakap yang dikendalikan oleh jurulatih jemputan, En. Pasdah Ladola. Setiap pasukan telah mencuba yang terbaik dan ternyata, mereka memang berbakat dan menghiburkan. Pada hari terakhir perkhemahan, di sebelah paginya diadakan acara senaman pagi dan latihan kawad kaki. Ini diikuti dengan sesi Pembinaan Karektor (Character Building) yang dikendalikan oleh jurulatih jemputan Kapten Mot (JPA3) dan seterusnya beberapa permainan berkaitan pembinaan pasukan (Team Building). Setelah selesai makan tengahari, satu majlis ringkas penutupan perkhemahan dilakukan oleh Tn. Pesuruhjaya Pengakap Daerah Balik Pulau, En. Rozhan Bin Haji Yahaya. Para peserta berangkat meninggalkan tapak perkhemahan pada jam 2.30 petang. Disediakan Oleh: Hazlisham Hj Hanafiah – Pen. Pesuruhjaya Pengakap Daerah
|
"Sekali Pengakap Teruskan Berpengakap"
© Laman Web ini dikendalikan oleh Unit Multimedia & IT PPM Daerah Balik Pulau
PERSEKUTUAN PENGAKAP MALAYSIA DAERAH BALIK PULAU
Email: pengakapbp@excite.com ::::::: Webmaster: i_5sal@yahoo.com
![]()